PROGRAM PEMERKASAAN REMAJA ORANG ASLI PERINGKAT NEGERI SELANGOR
Program Pemerkasaan Remaja Orang Asli Peringkat Negeri Selangor, Agenda Nasional Malaysia Sihat & Sambutan Hari Orang Asli 2022 Peringkat Hospital Orang Asli, Gombak telah diadakan pada hari ini 12 hb November 2022. Program Pemerkasaan Remaja Orang Asli Peringkat Negeri Selangor merupakan program multiagensi yang melibatkan Persatuan Promosi Kesihatan Malaysia (MAHEO), Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan (IPTK) Institut Kesihatan Negara, Jabatan Kemajuan Orang Asli Selangor (JAKOA), Universiti Selangor (Unisel), Institut Darul Ehsan (IDE), AsyikFM, Bahagian Promosi Kesihatan Jab. Kesihatan Negeri Selangor dan Hospital Orang Asli, Gombak.
Sejajar dengan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia dalam meningkatkan tahap kesihatan rakyat tanpa mengira bangsa, program ini bertujuan memberi manfaat kepada masyarakat khasnya remaja orang asli bagi memupuk budaya hidup sihat seperti amalan makan secara sihat, aktif setiap hari, tidak merokok dan amalan kesihatan minda yang baik. Remaja merupakan aset penting bagi negara sebagai penyambung kepimpinan serta mendepani cabaran pada masa akan datang. Kesedaran tingkah laku berisiko dalam kalangan remaja Orang Asli adalah aspek yang perlu diutamakan bagi membentuk masyarakat Orang Asli yang seimbang antara kesihatan jasmani dan kerohanian melalui amalan cara hidup sihat, bagi sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara yang mampan pada masa hadapan.